Sumber: Mengandung.Com Newsletter(Minggu ke-17 hingga minggu ke 28) 
Minggu ke-17, rambut, kening, bulu mata bayi kita mulai tumbuh sementara garis kulit pada hujung jari juga mula terbentuk. Antara keajaiban Allah s.w.t pada saat ini ialah bayi kita telah mempunyai cap carinya yang tersendiri.  Walaupun pada masa ini panjang bayi hanya kira-kira 16 cm sahaja iaitu  seperti sebatang pen. Puan mungkin akan alami sembelit akibat sistem  usus yang perlahan. Rahim kita pula akan semakin membesar dan menekan  pundi kencing. Jadi amalkan pada minggu ini, meminum lebih banyak air  masak dan memakan makanan berserat, jus buah-buahan serta sayur-sayuran  hijau. 
               Kini kita menyorot pula perkembangan pada minggu ke-18.  Walaupun matanya masih lagi tertutup, bayi dalam kandungan kita sudah  dapat mengenalpasti cahaya terang menerusi dinding rahim. Bayi kita  dapat mendengar degupan jantung kita pada masa ini. Bayi dalam kandungan  juga telah mula berbaring pada lelemak yang boleh memanaskan badannya.
               Pengaliran oestrogen dan progesterone   semakin meningkat dalam badan semasa kehamilan puan masuk minggu ke-18  ini. Ia bertujuan untuk melembutkan serta membesarkan serviks untuk  proses bersalin. Kesan yang sama pada selaput mukus dihidung juga  berlaku yang boleh menyebabkan berdarah.
               Seterusnya kita mengikuti perkembangan minggu ke-19.  Bayi akan mula mengeluarkan bahan berwarna putih yang tebal dan berkrim  untuk menyelaputi keseluruh tubuhnya. Ia dikenali sebagai verniks dan  berfungsi untuk melindungi kulitnya daripada cecair amniotik yang  mengelilinginya. Jadi apabila bayi kita lahir kelak bayi kita tidak akan  kelihatan seperti tidak mandi selama sembilan bulan. Sesetengah ibu  akan berlaku kesan stretchmarks atau tanda calar pada bahagian perut.  Hampir 90% wanita akan mengalaminya.
               
Minggu ke-20.  Pertumbuhan bayi dalam kandungan puan saat ini adalah agak perlahan  kerana memberi peluang kepada paru-paru dan sistem penghadaman serta  imunnya untuk matang. Saiz bayi ketika ini ialah kira-kira 25 cm panjang  dan mempunyai berat dalam lingkungan 340 g. 
               Pigmentasi pada kulit kita mungkin  berlaku dengan lebih ketara tetapi ianya akan hilang selepas bersalin  nanti. Payu dara kita juga saat ini sedang menghasilkan kolostrum iaitu  sejenis bahan cecair keruh (warnanya) yang berfungsi untuk membekalkan  semua bahan yang diperlukan oleh bayi kita pada hari pertama selepas  lahir. Jangan cuba memicit cecair itu. 
               Selain itu puan juga akan sering  mengalami masalah gusi berdarah dan peningkatan keluaran cecair dari  faraj. Sendi dan ligamen-ligamen badan juga akan menjadi kendur. Kita  akan lebih kerap merasa sakit pada bahagian belakang badan serta  ketegangan dibahagian lain.
               Pada minggu ke-21,  kita akan mengalami banyak perubahan sementara bayi dalam kandungan pula  membesar dengan perlahan. Jadi penjagaan kesihatan agar senantiasa  sihat dan bertenaga amat penting. Kita perlu elakkan daripada melakukan  kerja-kerja berat yang boleh membebankan bahagian belakang. Malah kita  perlu mengelakkan dari memakai kasut bertumit tinggi. 
               Seterusnya minggu ke-22.  Struktur gigi bayi kita mula berkembang. Pergerakan bayi kita juga  menjadi semakin aktif. Puan sebaiknya-baiknya memberikan tindakbalas  dengan setiap gerakan, tendangan atau bunyi dalam uterus tersebut. Pada  masa ini puan sudah boleh perdengarkannya dengan alunan zikir dan  ayat-ayat suci Al-Quran untuk memberikan pendedahan dan didikan awal  sejak dalam kandungan lagi. Dekatkan perakam atau pemain cakera padat  dekat dengan perut puan. InsyaAllah bayi kita yang bakal lahir akan  menjadi anak-anak yang pintar lagi soleh. Belailah gerakan bayi anda  dengan penuh kasih sayang.
               Kini kita di minggu ke-23.  Pada masa ini tangan dan kaki bayi telah terbentuk dengan baik.  Jari-jemarinya juga terbentuk dengan baik. Perubahan yang berlaku pada  puan untuk minggu ini amat baik. Antaranya ialah rambut, tekstur kulit,  kuku da warna kulit. Rambut kita akan menjadi lebat dan berkilauan.  Kulit pula akan menjadi bertambah gebu, licin dan lembut.
               
Pada minggu ke-24  pula, puan akan merasa gembira, sihat dan berpuas hati dengan  perjalanan kehamilan puan. Kita akan dapati berat badan kita bertambah  secara normal. Perlu kita ketahui bahawa pada minggu ini kedudukan  kepala bayi lazimnya berada pada bahagian bawah. Manakala kulit bayi  akan menjadi semakin menebal. Namun jangan terkejut sekiranya puan  dapati muka menjadi sembap dan membengkak pada ketika ini. Ini kerana  tubuh sudah mula menyimpan air yang berlebihan. 
               Fenomena yang sering berlaku pada minggu ke-25 dan minggu ke-26  ialah badan kita akan senantiasa berpeluh dan berasa panas. Bagi  menghilangkan rasa panas tersebut, minumlah banyak air. Untuk  mengelakkan dehidrasi semasa bekerja terutama ketika berada dalam  penghawa dingin (aircond), basahkan tuala kecil dan lapkan pada bahagian  muka, leher, dada, peha dan perut. Pakailah pakaian yang longgar untuk  keselesaan. Pada minggu ini saiz bayi kita sudah mencapai 33 cm.
               Sekarang minggu ke-27,  bayi kita sudah mulai pandai menghisap ibu jari dan menelan air panas  (cecair amnion) yang mengelilinginya. Air yang ditelan itu akan keluar  daripada badannya sebagai air kencing. Tunas rasa bayi pada masa ini  baru terbentuk. Ia sudah bleh bertindakbalas kepada rasa manis, masam  dan pahit. Kelenjar peluhnya juga sudah mulai terbentuk dan bayi sudah  boleh batuk dan tersedu. Sepanjang kehamilan ini kita amat digalakkan  memakai pakaian yang diperbuat dari kain kapas yang boleh menyerap haba  dengan baik. 
               
Kini masuk minggu ke-28,  bermakna kita hanya tinggal lagi 3 bulan sebelum saat kelahiran yang  ditunggu-tunggu tiba. Puan mungkin akan menjadi sedikit pelupa, kekok  dan agak janggal. sepanjang bulan-bulan terakhir ini, bayi kita juga  telah mula menyimpan bekalan lemak dalam badan. Selain itu puan juga  mungkin akan mengalami sakit ulu hati, senak dan kadang-kadang kejang  pada bahagian betis. Jangan terkejut jika kita akan berhadapan dengan  kontraksi. Ia bukan kontraksi untuk melahirkan tetapi ia sebalik adalah  kontaksi kecil yang dipanggil iBraxton Hiksi. Sepanjang kehamilan kita  cuba elakkan daripada berfikir perkara-perkara buruk atau negetif.  Banyakkan membaca majalah-majalah atau menonton rancangan tv yang  berfaedah untuk minda dan perkembangan kehamilan kita.